'Baby hanya ikut skrip'

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah terkenal, Fauziah Ahmad Daud kecewa apabila ada pihak sengaja memperbesarkan isu adiknya, Fazlina atau Baby menampar penyanyi Aiman Tino ketika berlakon dalam drama bersiri Mak Cun.

Menurut Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy, 55, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana adiknya bertindak begitu untuk memenuhi tuntutan skrip.

"Apabila mendapat tahu mengenai insiden itu di laman YouTube, saya terus bertanya kepada Baby, apa yang cuba dilakukannya? Setahu saya, dia bukan guru lakonan dan perbuatannya itu boleh memalukan arwah emak dan ayah.

"Baby, bagaimanapun menafikan perkara itu. Dia memberitahu babak melempang itu bukan dilakukan sekuat hati seperti yang digembar-gemburkan. Dia sebaliknya, hanya menolak pipi Aiman dengan jari," katanya.

Ogy berkata, pada mulanya, dia juga berhasrat mahu berjumpa dengan pengurus Aiman untuk menyelesaikan perkara itu, namun dihalang Baby yang mahu menguruskannya sendiri.

"Akhirnya, saya mendapat tahu cerita sebenar daripada penerbit drama itu, Erma Fatima yang memaklumkan babak Aiman ditampar memang ada dalam skrip. Baby hanya melakonkan watak yang diperlukan mengikut skrip.



Pelakon, Fazlina Ahmad Daud (kiri) dan penyanyi AimanTino. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam/Mahzir Mat Isa
"Dia juga kesal apabila cerita yang tidak benar seperti itu tersebar," kata Ogy kepada BH Online.

Fazlina sebelum ini dikecam teruk peminat penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu ekoran insiden terbabit. Malah, timbul dakwaan mengatakan pihak pengurusan Aiman mahu membuat laporan polis disebabkan tidak puas hati dengan perbuatan dramatis berusia 42 tahun itu.

Bagaimanapun, Aiman menafikan pihaknya mahu membuat laporan polis dan turut meluahkan sedih kerana perkara itu dijadikan isu.

Terdahulu, pelakon yang terkenal dengan watak Azura itu ditemui pada majlis sidang media Sepetang Bersama Bonda Ratuku yang diadakan di sebuah hotel, di sini.

Pada majlis yang bakal diadakan pada 1 Mei itu, Ogy bakal bertindak sebagai pengacara manakala dua penyanyi, Safura Yaacob dan Liza akan menghiburkan tetamu dengan nyanyian hebat mereka.

Sumber : www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/04/407439/baby-hanya-ikut-skrip
Load disqus comments

0 comments