Projek LRT Sarawak menelan belanja hampir RM11 bilion, siap tahun 2024

KUCHING – Menjelang tahun 2024, negeri Sarawak bakal mempunyai sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang menghubungkan tiga laluan iaitu Laluan Muara Tuang-Damai, Laluan Serian-Senari dan Laluan Bandar Raya Kuching.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg, projek pembinaan LRT sepanjang 154.2 km itu dijangka akan dimulakan pada tahun hadapan.


Projek yang menelan kos hampir RM11 bilion itu dijadualkan akan mula beroperasi pada tahun 2024, kira-kira enam tahun lagi.



Berikut merupakan info lanjut mengenai tiga laluan utama tersebut:

Laluan Muara Tuang-Damai – sepanjang 59.7 km dengan 28 stesen.
Laluan Serian-Serani – sepanjang 84.02 km dengan 26 stesen.
Laluan Bandaraya Kuching – sepanjang 11 km dengan 13 stesen.
Tambah beliau, ketiga-tiga laluan itu diberikan keutamaan setelah hasil kajian yang dilakukan mendapati laluan berkenaan mempunyai kapasiti penumpang tinggi dengan anggaran sebanyak 908,400.

“Hasil kajian kebolelaksanaan dilakukan tahun lalu mendapati tiga daripada enam laluan telah dikenal pasti untuk dibina segera iaitu Muara Tuang-Damai, Serian-Senari dan Laluan Bandaraya Kuching”.

“Tiga laluan utama ini dijadual mula beroperasi 2024 manakala tiga lagi iaitu Tasik Biru, Telaga Air dan Jalan Lingkaran Luar Kuching akan dibina secara berperingkat selepas tiga laluan utama ini siap”, menurut kenyataan oleh Utusan Borneo.

Projek ini akan dibiayai menerusi Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) manakala Sarawak Metro pula dilantik sebagai syarikat pelaksana projek.

Jelas Abang Johari lagi, terdapat tiga kaedah yang dikenalpasti dapat memberikan pulangan iaitu menerusi kadar tambang murah yang dikenakan, pembangunan hartanah di kawasan Pembangunan Berasaskan Transit (TOD) dan kadar sewa yang dikenakan ke atas entiti komersial dalam kawasan TOD.

“Ini adalah cara pembiayaan jangka panjang, sama dengan prinsip sistem LRT di Hong Kong serta beberapa negara lain. Pendekatan yang kita ambil ini dapat mempercepatkan pembangunan Sarawak sebagai negeri maju menjelang tahun 2030”.


kredit : www.erabaru.com.my/2018/04/01/projek-lrt-sarawak-menelan-belanja-hampir-rm11-bilion-siap-tahun-2024/
Load disqus comments

0 comments