Sufian anggap tindakan Fathia ubah lirik lagu sekadar berkarya

KUALA LUMPUR - Penyanyi lagu Di Matamu, Sufian Suhaimi menganggap tindakan pelakon Fathia Latiff yang merakam versi balasan lagu tersebut hanya untuk berkarya.

Sufian turut memuji tindakan pelakon itu sekiranya benar tujuan lagu itu dibuat sekadar mahu berkarya selain mempelbagaikan versi dendangan asal lagu itu.



"Sebagai orang seni, saya lihat apa sahaja yang berlaku di dalam industri ini adalah untuk berkarya selain mempelbagaikan versi lagu itu.

"Saya memuji tindakannya itu tetapi berharap perkara tersebut dilakukan bukan bertujuan untuk mencampuri urusan peribadi," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar pengumuman finalis Bintang RTM di sini sebentar tadi.

Ketika ditanya berkenaan tindakan Fathia yang mengaitkan nama bekas tunangnya, Sufian memberitahu, lebih adil sekiranya perkara itu ditanya kepada Fathia sendiri.

"Saya tidak tahu apa yang dia cuba lakukan, mungkin sekadar mahu memberitahu yang dia merakam lagu itu dalam versi tersendiri.

"Malah budaya menukar lirik ini juga bukan perkara baharu dalam industri dan saya harap ia cuma atas dasar berkarya, bukannya serangan peribadi. Oleh sebab itu, tiada sebab untuk saya melatah," jelasnya.

Pada Sabtu lalu, Fathia merakamkan versi balasan lagu Di Matamu dendangan Sufian dan memuat naik lagu tersebut di laman perkongsian video, YouTube.

Pelakon itu turut mengaitkan nama bekas tunang Sufian, Elfira Loy menerusi salah satu statusnya ketika mempromosikan lagu tersebut di laman Twitter miliknya. - K! ONLINE



sumber : http://www.kosmo.com.my/terkini/sufian-anggap-tindakan-fathia-ubah-lirik-lagu-sekadar-berkarya-1.640354
Load disqus comments

1 comments: